fbpx

Flat hanyir, penuh sampah jadi rumah PATI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara PATI yang ditahan dalam serbuan sebuah flat di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Sebuah flat kotor serta disifatkan tidak sesuai dihuni manusia dikesan dijadikan koloni Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) diserbu di Bukit Bintang, di sini, tengah hari tadi.

Serbuan Op KL Strike Force itu dilakukan Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ekoran aduan awam berhubung pencemaran bau dan kebanjiran warga asing.

Wartawan Kosmo! yang mengikuti serbuan itu mendapati dalam jarak kurang 10 meter sudah boleh menghidu bau hanyir ekoran takungan air dipenuhi sampah tidak diurus sejak sekian lamanya.

Malah, pelbagai kerosakan terdapat pada bangunan berusia lebih 30 tahun itu antaranya saluran paip yang bocor, sampah yang berselerakan dan pembiakan nyamuk yang tidak terkawal.

Bagi mengaut keuntungan sewa berganda, pemilik premis juga didapati membina ‘bilik tambahan’ daripada dua bilik menjadi empat ke lima bilik.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, seramai 150 penghuni warga asing diperiksa menerusi serbuan pada pukul 12 tengah hari itu.

Katanya, semakan mendapati 71 PATI terdiri daripada Bangladesh (24 orang), Myanmar (30 orang), Nepal (lapan orang), Indonesia (tujuh orang), Thailand (seorang) dan Pakistan (seorang).

“Kesemua mereka berusia 1 tahun hingga 62 tahun didapati melakukan pelbagai kesalahan Imigresen antaranya tinggal lebih masa, memiliki pasport palsu, dan tiada pas perjalanan yang sah.

“Selain itu, pemilik premis akan disiasat atas kesalahan melindungi PATI dan tindakan menghubungi mereka akan dilakukan dalam masa terdekat bersama agensi terlibat,” katanya pada sidang akhbar di lokasi serbuan.

Mengulas mengenai keadaan premis, Wan Mohammed Saupee berkata, kediaman tersebut disifatkan tidak sesuai dihuni manusia termasuk dijadikan pilihan untuk majikan sebagai tempat penginapan pekerja.

“Ada sebuah unit kediaman yang saya tinjau memuatkan 20 warga asing di dalamnya, bayaran pula dikenakan RM100 setiap seorang. Terdapat juga penghuni memaklumkan membayar sewa bermula RM450 sehingga RM600 mengikut saiz bilik,” katanya.

Tambah beliau, Op KL Strike Force akan dilakukan dengan lebih kerap secara bersepadu bagi memastikan PATI merasakan ibu negara bukan lokasi selamat untuk mereka duduki.

Sementara itu, Ketua Cawangan Bahagian Teknikal Pembangunan DBKL, Azmi Mohd Saaid berkata, aduan berkaitan kebersihan premis ini ada diterimanya sebelum dipanjangkan kepada pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, tindakan pembersihan telah dilakukan dengan kerap sehingga mencapai konklusi punca pencemaran adalah tabiat penghuni warga asing yang sering membuat sampah sesuka hati.

“Bangunan ini kita tidak akan tutup kerana strukturnya masih selamat namun kita akan buat pembersihan sekali lagi,” katanya.

Tambah Azmi, sebanyak 27 unit kediaman yang membina bilik tambahan tanpa kelulusan diambil tindakan roboh serta-merta.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI