fbpx

Hati-hati berhibur di Golok, takut ada dadah dalam minuman, vape

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Hiasan

KOTA BHARU – Golongan muda yang berhibur di kelab-kelab malam di Golok, Thailand diingatkan agar lebih berhati-hati kerana bimbang minuman, makanan atau cecair vape mereka dicampur dengan dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, perkara itu dibimbangi berlaku semasa anak-anak muda dari negara ini berhibur di negara berkenaan pada malam minggu.

Menurutnya, perbuatan itu juga mendedahkan anak-anak muda secara langsung untuk terjebak dan terlibat dengan dadah.

Mohd. Yusoff bercakap pada sidang akhbar di IPK Kelantan, Kota Bharu hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

“Kita bimbang dadah itu dimasukkan ke dalam minuman, makanan dan cecair vape mereka semasa berhibur di sana. Ia bertujuan untuk mereka lebih ‘high’ (khayal) semasa berhibur di kelab-kelab malam.

“Daripada anak-anak muda kita tidak terlibat dadah, kita risau mereka jadi penagih selepas dicampur dalam minuman semasa berhibur,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd. Yusoff memberitahu, berdasarkan maklumat, ketamin dan erimin 5 merupakan dadah yang boleh merangsang keseronokan dan khayal semasa berhibur.

Menurutnya, pengambilan dadah jenis erimin 5 juga boleh menyebabkan anak-anak muda tidak tidur sekali gus boleh memberi kekuatan untuk berhibur sepanjang malam di sana.

“Justeru, tidak payahlah berhibur di Golok. Ibu bapa juga perlu memantau pergerakan anak-anak mereka pada malam minggu kerana bimbang mereka terlepas dan berhibur di Golok.

“Anak-anak muda juga perlu memilih rakan-rakan sekeliling agar tidak terjebak dengan kegiatan dadah berhibur di negara jiran,” katanya.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan antara enam individu yang ditahan oleh pihak polis Thailand bersama ribuan biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat pada Jumaat lalu.

Tiga lelaki dan tiga wanita termasuk penyanyi terbabit ditangkap polis Thailand kira-kira pukul 5 pagi dalam satu serbuan ketika mereka berehat di sebuah bilik hotel selepas berhibur di pusat hiburan yang terletak bawah hotel tersebut.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI