fbpx

Dewan Rakyat: Kutipan yuran sijil halal lebih RM80 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan yuran sijil halal yang berjaya dikutip daripada tahun 2012 hingga 2023 melebihi RM80 juta.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, pencapaian itu menunjukkan suatu perkara yang baik.

“Fi (yuran) yang telah pun dikutip yang meningkat dari saban tahun direkodkan pada tahun 2023 peningkatan yang sangat meyakinkan iaitu sebanyak RM12,153,644,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Zulkifli berkata, hasil kutipan tersebut digunakan untuk melaksanakan pelbagai program untuk memberikan pencerahan dan juga bimbingan.

Kata beliau, antaranya program Halal On Track yang menyediakan fasiliti dan klinik halal yang membimbing industri dan premis-premis untuk mendapatkan sijil pengesahan halal.

Beliau berkata, program lain termasuk kerjasama dengan beberapa institusi termasuk Lembaga Lebuh Raya Malaysia untuk membantu mendapatkan sijil halal di Kawasan Rehat & Rawat (R&R)

“Untuk menjawab soalan kedua iaitu berkenaan cadangan audit bebas untuk diadakan secara berkala, buat masa ini kerajaan juga telah pun dalam belanjawan meluluskan seratus juruaudit halal tambahan.

“Juga untuk menambah baik sistem MYeHALAL. Saya rasa usaha dan inisiatif ini akan dapat membantu untuk memperkukukan lagi ekosistem halal,” katanya.

Ujar beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus komited dan konsisten dalam usaha menambah baik proses pengeluaran sijil halal.

Kata beliau, ia termasuk membantu mempercepatkan premis perniagaan makanan dan minuman mendapatkan sijil berkenaan tanpa terpaksa berdepan kerenah birokrasi.

“Jakim berjaya mempercepatkan sijil halal daripada beberapa bulan sehingga 30 hari. Ini juga akan diusahakan lagi ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI