PETALING JAYA — Hantaran tentang kesunyian mencetuskan tanda tanya, pelakon Nadia Brian nafi dilanda kesepian, sebaliknya itu hanya gambaran situasi kebosanan yang dialami wanita pada waktu tertentu.
Ujar Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashid, 32, perkongsian tersebut dibuat semasa dia datang bulan ketika hormon tidak stabil, sekali gus bukan tanda mempunyai masalah peribadi.
“Sebenarnya hantaran tersebut tidak bermaksud apa-apa pun, Biasalah wanita, masa ‘period’ memang ada ketikanya akan rasa lain sedikit, lebih kepada bosan sebab tiada aktiviti.
“Tapi tidak mengapa, Allah punya perancangan yang lebih baik kan. Lagipun minggu hadapan akan mula sibuk balik dengan teater Samaya.
“Tak lama dah lagi latihan akan bermula, Saya sangat teruja untuk kembali ke pentas teater dan berharap dapat memberikan persembahan terbaik buat peminat yang sentiasa memberi sokongan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Menjawab komen netizen yang menyuarakan cadangan agar mencari pasangan hidup sebagai solusi supaya tidak lagi merasa sunyi, Nadia berkata, perkara tersebut bukanlah semudah diucapkan.
“Ingat senang ke mahu cari pasangan hidup, bukan macam beli sayur kat pasar.
“Kalau senang jumpa yang sesuai dan serasi sudah lama saya kahwin,” ujarnya tegas.
Sebelum ini, tular hantaran Nadia dalam media sosial seolah-olah menggambarkan dirinya merasai sedikit kesunyian dan sedang berusaha untuk mengatasi perasaan tersebut dengan semangat positif.
“Kenapa susah sangat untuk sendiri ni? Okey kena lawan! Saya akan kuat seperti biasa,” tulisnya.
Sebelum ini Nadia pernah mendirikan rumah tangga dengan Muizz Nasruddin pada 9 November 2019 namun mereka bercerai pada April 2021. — KOSMO! ONLINE