PETALING JAYA – Seorang rakyat Malaysia yang pernah ditangkap kerana disyaki memiliki dadah di Thailand berkongsi keadaan dan suasana ketika dia dimasukkan ke Penjara Narathiwat selama sembilan bulan pada 2015.
Menerusi perkongsian di Live TikTok Abe Mung Jahit, dia memberitahu kira-kira 280 penghuni ditempatkan di dalam satu unit dengan keluasan dua bilik darjah.
Difahamkan, Abe Mung Jahit atau nama gelarannya Zul, 32, ditangkap bersama sembilan rakannya di sebuah hotel di Golok kerana memiliki dadah jenis syabu, namun tidak dinyatakan jumlahnya.
“Antara yang berbeza dengan penjara di Malaysia, setiap jel dia tak lepas, dia beri keluar bergantung pada sebab. Tapi di sana, pukul 7 pagi semua banduan dilepaskan untuk keluar.
“Kita akan jumpa semua jenis orang sama ada yang tua atau muda. Kes berat iaitu bunuh dan senjata api semua dilepaskan sekali,” katanya.
Bagaimanapun, menurutnya, keadaan di dalam Penjara Narathiwat adalah bersih dan terurus meskipun dia terpaksa menginap dengan pelbagai jenis banduan.
Dalam pada itu, Zul berkata, antara pengalaman ngeri yang pernah dilalui adalah melihat salah seorang banduan ditikam di bahagian bahu ketika terlibat dalam pergaduhan.
“Dekat dalam ini, senjata pun ada. Sekecil-kecil jarum hingga sebesar kapak semua ada. Sebab itu, banduan yang buat jahat dekat luar mereka akan asingkan,” jelasnya.
Zul berkata, dia juga hanya dibenarkan menghadiri perbicaraan kesnya secara dalam talian dan hanya dibawa ke mahkamah ketika keputusan hukuman.
“Sewaktu kes saya berjalan. Setiap 12 hari sekali kita kena duduk depan skrin untuk bercakap dengan mahkamah. Masa nak dijatuhkan hukuman, baru kita dibawa ke mahkamah,” jelasnya.
Sehubungan itu, Zul berkata, dia akhirnya dibebaskan daripada Penjara Narathiwat selepas memenangi kes tersebut pada September 2015.
“Selepas salah seorang daripada kami mengaku barang (dadah) itu milik dia. Kami sembilan orang masih perlu lawan kes di mahkamah bagi membukitkan kami tidak bersalah.
“Yang mengaku itu kena hukuman empat tahun enam bulan. Kalau kami kalah, mahkamah akan beri hukuman dua kali ganda iaitu penjara sembilan tahun.
“Sebab itu, tak boleh pilih peguam sembarangan dan kena cari peguam yang betul-betul faham kes kita,” tambanya.
Mengulas lanjut, Zul berkata, dia berharap kisahnya itu dapat dijadikan iktibar dan pengajaran kepada orang ramai terutama golongan muda. – KOSMO! ONLINE