fbpx

Tak sempat bawa lari 15 PATI Myanmar naik Mercedes Benz, Grand Livina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PATI warga Myanmar yang berada di dalam sebuah kereta jenis Mercedes Benz semasa anggota PGA menjalankan serbuan di sebuah rumah di Kampung Kok Keli, Palekbang dekat Tumpat semalam. FOTO IHSAN PGA

TUMPAT – Cubaan tiga tekong darat untuk membawa keluar seramai 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Myanmar gagal selepas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah rumah di Kampung Kok Keli, Palekbang di sini semalam.

Serbuan dijalankan oleh Batalion 8 PGA kira-kira pukul 10 malam selepas menerima maklumat mengenai kegiatan penyeludupan PATI menggunakan sebuah kereta mewah dan kenderaan pelbagai guna (MPV)semasa menjalankan operasi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, dua orang lelaki disyaki tekong darat sempat melarikan diri semasa anggota PGA tiba di rumah tersebut.

Menurutnya, bagaimanapun, salah seorang daripada mereka yang merupakan warganegara tempatan berusia 58 tahun sempat dicekup oleh anggota bertugas.

“Pemeriksaan di dalam sebuah kereta jenis Mercedes Benz dan MPV jenis Nissan Grand Livina menemui seramai 15 PATI warganegara Myanmar termasuk seorang wanita.

“Kesemua suspek itu gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. Siasatan awal mendapati, PATI itu disyaki diseludup masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, tekong dan 15 orang PATI itu ke dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, kesemua PATI ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah manakala tekong darat itu di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI