KOTA BHARU – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak berusia 13 tahun, dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Zulhilmiey Alif Muhamadzu, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol kanak-kanak perempuan yang ketika kejadian berusia 13 tahun di sebuah rumah di sini kira-kira pukul 3 pagi pada 13 Ogos 2022.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Zulfaqar Al Basysyar Saharrudin
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak mencadangkan jaminan memandangkan kes tersebut merupakan jenayah seksual yang melibatkan mangsa bawah umur.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai dan melapor diri di balai polis berhampiran.
Mahkamah turut menetapkan 2 Disember depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Tertuduh membayar jaminan ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE