SEREMBAN – Seorang pemandu lori yang merempuh tiga buah kenderaan dekat Simpang Kampung Bukit Kadir, Nilai, di sini pada minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret Khas Trafik Seremban hari ini atas pertuduhan memandu kenderaan di bawah pengaruh dadah.
Tertuduh, Ezzani Amar Fawzie Omar, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Azuin Mohd. Talhah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu lori jenis Nissan telah didapati memandu kenderaan tersebut dibawah pengaruh dadah berbahaya jenis Methaphetamine sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan di Simpang Masjid Kampung Bukit Kadir, Nilai pada pukul kira-kira 2 petang pada 1 November lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, M. Pusppa memohon agar mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh dan lesen tertuduh turut digantung.
Nurul Azuin kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu lesen tertuduh digantung sehingga kes selesai. Kes akan disebut semula pada 23 Januari 2025.
Sementara itu, di dua kamar berlainan, Ezzani Amar turut berhadapan dua pertuduhan memasukkan dadah ke atas dirinya bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai kira-kira pukul 1.15 petang pada 27 September 2023.
Majistret Nurul Saqinah Rosli kemudiannya menetapkan hukuman denda RM2,500 dikenakan terhadap tertuduh.
Tertuduh kemudian tidak mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis Methaphetamine ke dalam dirinya bertempat di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Nilai kira-kira pukul 6.30 petang pada 1 November lalu.
Pengakuan itu dibuat dihadapan Majistret, Syed Farid Syed Ali yang seterusnya menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,500 dikenakan kepada tertuduh dan tarikh sebutan semula kes pada 7 Januari tahun depan untuk laporan urin. – KOSMO! ONLINE