SHAH ALAM – Peneraju industri penyimpanan dan gudang, penyediaan teknologi rak serta logistik, Dexion Asia menerima pensijilan antarabangsa Leadership in Energy and Environmental Design (LEED) Gold, yang dianugerahkan kepada pemilik bangunan dan projek yang memenuhi piawaian tinggi dalam kelestarian alam sekitar.
Pengarah Urusan Dexion Asia Pacific, Damian Cross berkata, budaya kerja di Dexion adalah mengutamakan perlindungan serta pemeliharaan alam sekitar, dan anugerah tersebut merupakan simbol pencapaian kelestarian yang diiktiraf di seluruh dunia.
”Di Dexion, kami mengutamakan pengurusan alam sekitar yang memastikan masa depan lestari untuk keluarga, komuniti, negara, dan planet secara keseluruhan.
“Ini melibatkan perangkaan dasar yang menangani cabaran semasa dalam industri kami, sambil menangani kesan jangka panjang akibat daripada aktiviti pengilangan.
“Sewaktu dalam fasa perancangan dan reka bentuk kilang dan pejabat korporat baharu (termasuk Smart Hub di sini), kami mempertimbangkan pelbagai elemen yang boleh mengurangkan impak aktiviti kami terhadap alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Dan Pengumuman Anugerah LEED Gold yang disempurnakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof di Dexion Asia Seksyen 15, di sini hari ini.
Cross menambah, pensijilan LEED ditadbir oleh Majlis Bangunan Hijau Amerika Syarikat, yang mana misinya adalah memajukan dekarbonisasi bangunan, menambah baik daya tahan mansyarakat, memulihkan ekosistem alam sekitar, dan meningkatkan kesejahteraan penghuni bangunan.
Katanya lagi, antara elemen bangunan pintar yang unik di Dexion Asia di Seksyen 15 adalah rekaan ‘louvre’ di sekitar bangunan yang memudahkan aliran udara dan pencahayaan semula jadi, pengumpulan air hujan, tangki pengurusan air banjir, serta pencahayaan LED dengan sensor di seluruh bangunan yang menyumbang kepada penjimatan tenaga.
Sementara itu Azli berkata, inisiatif yang dilaksana oleh Dexion Asia adalah selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) Malaysia yang mewujudkan laluan untuk campuran tenaga, pengurangan pelepasan gas rumah hijau dan inisiatif peralihan tenaga.
“Ini adalah teladan dan galakan kepada sektor swasta untuk menghala ke arah mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE