CYBERJAYA – Sebanyak tujuh modul silibus telah dikenalpasti dan dibangunkan untuk digunapakai bagi pemulihan akidah kanak-kanak GlSB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) yang diselamatkan pihak berkuasa, baru-baru ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, modul silibus itu telah diputuskan oleh jawatankuasa khas yang dibentuk awal bulan lalu.
Beliau berkata, antara modul silibus itu termasuk akidah dewasa, akidah kanak-kanak, rohani dan jati diri, Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA), pembangunan remaja, kepimpinan Myinsaniah dan psikospiritual.
“Jawatankuasa dibentuk itu telah beberapa kali bersidang dan kini pembangunan modul silibus itu telah berada di peringkat akhir. Satu sidang akhbar khas akan saya kendalikan untuk memaklumkan silibus baharu itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Bula Zakat Kebangsaan 2024, di sini hari ini.
Katanya, kelas pemulihan akidah bagi kanak-kanak GISBH itu belum bermula dan ia masih dalam tempoh permohonan (pendaftaran).
Mohd Na’im berkata, pihaknya tidak menggunakan prinsip mewajibkan penggunaan silibus baharu itu sebaliknya menggalakkan mereka berdaftar. – KOSMO! ONLINE