PENERJUN negara, Gabriel Gilbert Daim masih dalam dilema untuk menjalani pembedahan terhadap kecederaan tulang belakang dialaminya yang menyebabkan dia terpaksa berehat hampir setahun sebelum ini.
Begitupun, Gabriel, 23, berpuas hati dengan prestasinya selepas kembali membuat kemunculan di kolam akuatik apabila meraih pingat emas 3 meter (m) papan anjal seirama campuran pada Kejohanan Terjun Terbuka Malaysia 2024 kelmarin.
Atlet dari Sabah itu yang bergandingan dengan ratu terjun negara, Nur Dhabitah Sabri, berjaya meraih 242.10 mata, menewaskan
pemenang pingat perak dan gangsa, Aldinsyah Putra Rafi-Gladies Lariesa (Indonesia) serta Max Lee-Alycia Lim (Singapura).
“Bagi saya, prestasi hari ini (kelmarin) baik sebab saya hampir setahun tidak bertanding dan mungkin ada yang meletakkan harapan saya boleh buat lebih baik lagi. Untuk kejohanan pertama selepas lama tidak bertanding, bagi saya, masih okey.
“Saya cedera di tulang belakang dan masih dalam pemulihan. Doktor ada mencadangkan untuk saya buat pembedahan tetapi saya masih belum memikirkannya lagi,” kata Gabriel.
Kali terakhir Gabriel berpasangan dengan Dhabitah ketika mereka meraih pingat gangsa acara sama sewaktu Kejohanan Grand Prix FINA di Gold Coast, Australia pada 2017.
“Saya amat berbangga dengan Gabriel. Dia sudah lama tidak bertanding, hampir setahun. Saya berpuas hati dan gembira kerana kami berjaya menamatkan kejohanan ini seperti yang dirancang.
“Gandingan kami amat serasi dan jika digandingkan lagi selepas ini, saya tidak ada masalah,” kata Dhabitah.