NEW DELHI – Sebuah bas membawa penumpang melebihi muatan terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di utara India semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh dan sebilangan lagi mangsa cedera.
Akhbar South China Morning Post melaporkan, kemalangan berlaku di daerah Almora, negeri Uttarakhand.
“Bas ini membawa 60 orang, manakala lebih 20 orang cedera,” kata pegawai kerajaan negeri, Vineet Pal.
Menurutnya, pihak berkuasa sebelum ini menyangka bas itu membawa 42 penumpang iaitu kapasiti dibenarkan untuk kenderaan tersebut.
Rakaman televisyen menunjukkan beberapa bahagian bas itu remuk dan musnah selepas terbalik di cerun berbatu, berhampiran sebatang sungai.
Anggota-anggota penyelamat dilihat berusaha menarik keluar penumpang dan mengusung mayat mangsa di atas pengusung.
Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami berkata, pasukan kecemasan berusaha untuk segera memindahkan penumpang yang cedera ke hospital berdekatan.
Vineet menambah, kerajaan negeri juga telah membuka kertas siasatan berhubung kemalangan itu.
Ujarnya, siasatan awal mendapati bas itu dalam keadaan usang dan terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung sedalam 60 meter.
Sebilangan penumpang berjaya menyelamatkan diri atau tercampak keluar akibat rempuhan itu.
Dua pegawai pengangkutan turut digantung kerja kerana meluluskan bas yang berada dalam keadaan usang, kata Vineet. – AGENSI