LONDON – Arsenal menerima tamparan besar apabila pengarah sukannya, Edu Gaspar melepaskan jawatan secara mengejut awal pagi semalam untuk menyertai empayar bola sepak dimiliki pemilik Nottingham Forest, Evangelos Marinakis dengan dilaporkan menerima kenaikan gaji tiga kali ganda.
Tawaran lumayan daripada Marinakis yang juga mempunyai dua lagi kelab iaitu Olympiakos di Greece dan Rio Ave (Portugal) dikatakan sukar ditolak oleh Edu selain beliau turut dijanjikan posisi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi ketiga-tiga kelab berkenaan.
Difahamkan, bilionair Greece itu kini dalam perbincangan untuk membeli kelab keempatnya iaitu Monza dari Itali.
Situasi itu sekali gus merencatkan perancangan Arsenal yang kini dalam fasa kebangkitan di bawah bimbingan pengurus, Mikel Arteta untuk menamatkan penantian 20 tahun menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak musim 2003/04.
“Saya sangat seronok bekerja dengan ramai rakan-rakan hebat terutamanya Mikel (Arteta) yang sudah menjadi kawan baik. Jadi ini memang satu keputusan yang sangat sukar.
“Ini adalah masa untuk mencari cabaran baharu. Arsenal akan sentiasa berada di hati dan saya doakan yang terbaik buat kelab dan penyokong,” kata Edu.
Berdasarkan khabar angin yang bertiup kencang di London, keengganan lembaga pengarah Arsenal untuk melantik Edu sebagai CEO kelab tersebut menjadi antara punca beliau meninggalkan Emirates dan menyertai Marinakis.
Edu yang merupakan anggota skuad Invincibles Arsenal yang menjuarai EPL pada musim 2003/24, bertanggungjawab membawa masuk beberapa nama penting buat The Gunners termasuk Martin Odegaard, Declan Rice, William Saliba, Ben White dan ramai lagi.
Sebagai rekod, bekas pemain tengah itu pernah membuat 127 penampilan dalam semua kejohanan bersama Arsenal ketika di bawah bimbingan Arsene Wenger dari 2001 hingga 2005 sebelum kembali semula ke London sebagai Pengarah Sukan Arsenal pada 2019.
Kehadirannya berjaya membawa perubahan besar dengan menyingkirkan bintang-bintang ‘toksik’ seperti Mesut Ozil dan Pierre-Emerick Aubameyang bagi memberi laluan kepada skuad muda menunjukkan peningkatan di bawah Arteta.
Biarpun belum menjuarai sebarang trofi sejak menjuarai Piala FA pada 2020 tetapi tugas cemerlang Edu menunjukkan hasil dengan memastikan The Gunners dianggap antara pencabar utama apabila meraih tempat kedua EPL selama dua musim berturut-turut.
Fokus Arsenal kini tentunya terjejas dengan perkhabaran duka tersebut ketika mereka juga tidak dilihat berada pada tahap terbaik apabila jatuh ke tangga kelima EPL susulan kekalahan 0-1 kepada Newcastle United hujung minggu lalu. – AGENSI