fbpx

Skor Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia tahap sederhana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid (enam dari kiri) pada pelancaran Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 di bangunan Parlimen di ibu negara, hari ini.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) di bangunan Parlimen hari ini dimaklumkan Skor Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 adalah pada tahap sederhana iaitu 71.91.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, Indeks Kesihatan Mental Belia Malaysia 2023 (MyMHI’23) menjadi salah satu agenda utama dalam mesyuarat berkenaan.

“MyMHI’23 yang dibangunkan oleh KBS dengan kerjasama United Nations Children’s Fund (Unicef) akan menjadi alat pengukuran utama untuk menilai tahap kesihatan mental belia berumur antara 15 hingga 30 tahun di Malaysia.

“Indeks ini sangat signifikan terutama dalam konteks cabaran sosial dan ekonomi yang dihadapi oleh generasi muda, dan wajar dijadikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) nasional,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, merujuk kepada pencapaian domain pula, domain pengalaman hidup mencatatkan skor tertinggi (88.51) iaitu pada tahap memuaskan, manakala skor terendah (65.45) adalah domain persekitaran.

Menurut beliau, domain lain di bawah skor indeks itu adalah gaya hidup, keperibadian individu, sokongan sosial, pengendalian tekanan dan minda sihat.

“Secara keseluruhan majoriti belia tidak terdedah dengan pengalaman negatif seperti penderaan dan buli sepanjang kehidupan mereka,” katanya.

Kata beliau, antara syor yang dipersetujui dalam mesyuarat itu termasuk penglibatan menyeluruh kementerian dan agensi dalam melaksanakan intervensi kesihatan mental yang lebih berkesan khususnya bagi golongan belia.

Tambah beliau, garis panduan untuk memberi sokongan dan bantuan kepada keluarga atau rakan terdekat yang terkesan akibat kes cubaan atau kejadian bunuh diri turut dibincangkan secara serius.

“Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani cabaran kesihatan mental belia sebagai satu isu penting yang memerlukan tindakan segera dan sokongan menyeluruh daripada semua pihak,” katanya.

Kata beliau, Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 yang bertujuan memperkukuh kesejahteraan dan kualiti hidup belia melalui perluasan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran, pendigitalan, kelestarian serta literasi kewangan dan pengurusan kredit turut dilancarkan.

Jelasnya, pelan itu berasaskan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) dan bertujuan menyokong visi RMK-13 bagi Malaysia yang lebih maju dan mapan.

“Antara sasaran 2030 yang ditetapkan pengurangan kadar pengangguran belia kepada 6.5 peratus, penurunan peratusan belia tercicir dari pekerjaan, pendidikan dan latihan formal (NEET) kepada 8.9 peratus serta peningkatan purata gaji belia kepada RM3,152,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI