KUALA LUMPUR – Seorang pembantu taska mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki bulan lalu.
Tertuduh Ernita Baharuddin, 37, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Shakirah Wira Mohtaruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah cuai sehingga mendatangkan kecederaan kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun di sebuah taska di Kondominium Raflesia Sentul di sini, pada pukul 5 petang, 22 Oktober lalu.
Justeru, wanita itu didakwa di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Sabri mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dan seorang penjamin bercagar serta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak menganggu saksi sehingga kes selesai.
Bagaimanapun peguam bela, Mazhar Abdul Malek yang mewakili tertuduh memohon jumlah ikat jamin rendah.
“Untuk makluman pihak mahkamah, tertuduh sepatutnya bekerja di bahagian dapur tetapi telah diarahkan oleh majikan pada ketika itu untuk menjaga seramai lapan orang bayi. Tertuduh juga hanya bekerja sebagai pembantu dapur di taska tersebut yang hanya peroleh pendapatan hanya RM1,200 sebulan,” kata Mazhar.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Siti Shakirah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mendekati saksi pihak pendakwaan sehingga kes selesai.
Tarikh 4 Disember ini ditetapkan bagi sebutan semula kes. – KOSMO ONLINE!