JOHOR BAHRU – Pelepasan air dari loji kumbahan merupakan antara punca utama 25 daripada 672 sungai seluruh negara berada dalam keadaan tercemar.
Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, 25 sungai itu melibatkan enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak.
Menurut beliau, pencemaran sungai-sungai itu melibatkan kategori kelas III dan kategori kelas IV.
“Selain pelepasan air loji kumbahan, antara punca pencemaran lain termasuklah sisa ternakan, pelepasan industri dan projek-projek pembangunan yang menghasilkan keladak apabila hujan.
“Air buangan itu sepatutnya dirawat sehingga mematuhi undang-undang sebelum boleh dilepaskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sesi Interaktif Ketua Pengarah Alam Sekitar Bersama Media di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara, di sini hari ini.
Wan Abdul Latiff turut memberitahu, jumlah sungai tercemar telah berjaya dikurangkan daripada 29 sungai tahun lalu atas usaha berterusan JAS dan agensi-agensi terlibat lain. – KOSMO! ONLINE