KLANG – Seorang ahli perniagaan produk kecantikan didenda RM4, 600 oleh Mahkamah Majistret hari ini atas dua pertuduhan mengakses dan menyimpan bahan lucah.
Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Chai Kien Tung, 29, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Kien Tung juga berdepan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. Tertuduh membayarnya.
Berdasarkan kedua-dua pertuduhan itu, lelaki berkenaan didakwa telah mengakses dan menyimpan dalam milikannya bahan lucah seperti video atau gambar di dalam dua telefon bimbit masing-masing jenis iPhone 12 pro dan 7.
Kesalahan itu dilakukan di bilik kawalan kondominium di daerah ini kira-kira pukul 12. 10 tengah malam semalam.
Mengikut fakta kes, mangsa telah ternampak sebuah telefon bimbit dari atas sebuah bilik tandas menghala ke arah mangsa semasa tengah mandi.
Pengadu telah keluar dari tandas dan berjumpa dengan pengurusan kondominium tersebut bagi memeriksa rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) dan didapati tertuduh telah lari keluar tandas tersebut.
Mangsa juga mengesyaki tertuduh mengambil video semasa mandi sebelum membuat laporan polis.
Peguam Nur Husnina Ahmad menyatakan anak guamnya masih bujang dan bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu serta menanggung ibu bapa dan nenek yang telah sakit.
“Tertuduh juga berulang alik ke Sarawak atas urusan kerja dan memohon maaf serta insaf tidak akan mengulanginya. Gambar-gambar itu yang didalam milikan tertuduh itu tidak dikongsi kepada sesiapa. Mohon denda minimum sebanyak RM2,000,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya NurulJannah Aimi bagaimanapun memohon hukuman detteren sebagai pengajaran dan kepentingan awam. – KOSMO! ONLINE