KUANTAN – Seorang peniaga sayur mengalami kerugian sebanyak RM274,000 selepas diperdaya oleh suspek yang menyamar sebagai pegawai daripada syarikat insurans dalam kes penipuan ‘phone scam’.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kejadian bermula pada 28 September lalu selepas mangsa yang merupakan wanita berumur 68 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek menyamar sebagai pegawai syarikat insurans yang mendakwa terdapat tuntutan insurans atas nama mangsa.
“Setelah mangsa menafikan hal tersebut panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Inspektor daripada Ibu Pejabat polis Daerah Ampang Jaya.
“Suspek telah mendakwa mangsa terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram dan meminta maklumat akaun bank mangsa untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Katanya, setiap kali mangsa menyatakan kekeliruan, panggilan tersebut akan disambungkan kepada pegawai lain termasuk seorang yang menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya yang turut mendakwa bahawa satu waran tangkap telah dikeluarkan terhadap mangsa.
Katanya, suspek menyatakan bagi menangguhkan waran tersebut, mangsa diminta memindahkan dan menyatukan simpanan wangnya daripada Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) ke dalam satu akaun bank miliknya untuk tujuan siasatan kewangan.
Tambahnya, pada 1 Oktober 2024, mangsa sekali lagi menerima panggilan telefon daripada suspek lain yang menyamar sebagai pegawai penyiasat kewangan yang mengarahkan mangsa menukar kad bank serta mendaftarkan nombor telefon baharu.
Yahaya memberitahu mangsa turut dipaksa memindahkan wang sebanyak RM237,000 ke dalam akaun miliknya dan RM29,000 lagi secara deposit tunai ke akaun pihak ketiga sebagai bayaran ikat jamin.
“Hasil semakan akaun mangsa mendapati sebanyak 32 transaksi telah dilakukan diantara 2 Oktober 2024 hingga 10 Oktober 2024 kepada 14 akaun berbeza.
“Setelah menghubungi dan berkongsi dengan ahli keluarganya, mangsa menyedari dirinya telah tertipu dan membuat laporan polis,” katanya. – KOSMO! ONLINE