fbpx

DSP Mohd. Nazri ekori Muhammad Zaharif sebelum langgar dengan laju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Nazri (kiri) dibawa ke Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini bagi menghadiri perbicaraan hari kedua kes bunuh yang dihadapinya. - FOTO MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Pegawai polis, Deputi Superintenden Mohd. Nazri Abdul Razak telah mengekori pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie sebelum bertindak melanggar mangsa dengan kenderaan yang dipandu sangat laju.

Pegawai polis itu juga tidak langsung cuba untuk mengelak walaupun mengetahui bahawa tindakan tersebut sangat berbahaya dan boleh mengakibatkan kematian.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz dalam ucapan pembukaannya di Mahkamah Tinggi di sini pada awal prosiding perbicaraan kes bunuh membabitkan pegawai polis itu di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet.

“Perbuatan tertuduh melanggar mangsa dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kecederaan kepadanya di mana kecederaan itu adalah cukup pada lazimnya bagi menyebabkan kematian.

“(Pihak pendakwaan juga akan membuktikan) tertuduh telah melanggar mangsa walaupun mengetahui perbuatan tersebut adalah berbahaya sehingga mungkin menyebabkan kematian atau sesuatu kecederaan yang mungkin menyebabkan kematian,” katanya.

Menurut Afzainizam, pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa tertuduh yang memandu kereta Perodua Ativa telah pergi ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Jati sebelum keluar semula dan mengekori mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC.

Beliau berkata, keterangan yang dibawakan nanti adalah tertuduh telah mengekori dan mengejar pelajar SMK Taman Jati itu dari kawasan persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah menuju ke kawasan Masjid Muhammad Al Fateh dan Taman Gerbang Meru Indah sebelum terus mengejar mangsa walaupun selepas berpatah balik ke lokasi asal.

“Setibanya si mati di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah, tertuduh telah melanggar dari bahagian belakang motosikal mangsa. Akibat pelanggaran itu, mangsa telah mengalami kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemeriksaan perubatan dan bedah siasat menunjukkan bahawa mangsa telah mengalami kecederaan maut akibat pelanggaran tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI