RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 tetap setia menjaga perbatasan negara daripada sebarang kegiatan jenayah meskipun sempadan Malaysia-Thailand di negeri ditenggelami banjir sejak beberapa hari lalu.
Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7, Superintendan Azhari Nusi berkata, rondaan di kawasan Op Benteng Covid-19 bermula dari Rantau Panjang ke Tumpat tetap berjalan seperti biasa meskipun terdapat pos kawalan pasukan itu ditenggelami banjir.
“Saya memghargai komitmen anggota yang sentiasa kental melaksanakan tugas meskipun berdepan kesukaran di musim tengkujuh ini
“Ketika musim banjir ini, kami menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan berat seperti lori bagi memastikan jenayah rentas sempadan dapat dikekang. Selain itu, kita mahu keselamatan negara sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika turun padang meninjau situasi semasa pengugasan PGA Batalion 7 di Op Benteng Covid-19 di sini semalam.
Sementara itu, Koperal Khairul Anuar Salleh, 40, yang bertugas di Pos Salleh Berek memberitahu, dia sudah biasa berdepan dengan situasi itu setiap kali musim banjir.
“Saya telah bertugas di sempadan negara di negeri ini sudah lapan tahun.
“Meskipun berdepan kesukaran untuk mengharungi air, namun rondaan penugasan tetap dijalankan seperti biasa,” ujarnya.
Menurutnya, anggota PGA tidak akan berganjak daripada melakukan tugasan agar sempadan negara dikawal rapi. -K! ONLINE