Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
SEBERANG PERAI – Sebanyak 2,531 notis membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sepanjang Ops Lebih Muatan yang dilaksanakan sejak 23 Jun lalu dan berakhir hari ini.
Pengarah JPJ negeru, Adenan Md. Isa berkata, sejumlah 1,210 kenderaan perdagangan yang membawa lebih muatan diperiksa dalam operasi yang bermula kita-kira pukul 4.30 setiap hari.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 946 kenderaan dikenakan tindakan membabitkan pelbagai kesalahan antaranya penggunaan tayar celup tidak mengikut spesifikasi dan pelanggaran syarat lesen pengendali yang diluluskan.
“Sebagai contoh, lesen pengendali diluluskan untuk membawa barangan pertanian tetapi disalahguna dengan membawa barang binaan.
“Ada juga pemandu yang membawa muatan sekali ganda dari yang dibenarkan kerana selain menjimatkan masa, mereka turut mendapat lebih keuntungan.
“Ini kerana upah yang diterima pemandu adalah berdasarkan berat (tan) muatan yang dibawa,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Stesen Penguatkuasa JPJ Penaga, Kepala Batas di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Adenan berkata, operasi itu disertai seramai 70 pegawai dan anggota yang menjalankan rondaan dan melakukan penyamaran bagi mengesan pesalah.
“Kita mahu memastikan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan memauhi undang-undang dan peraturan lalu lintas yang ditetapkan.
“Selain itu, risiko kemalangan membabitkan kenderaan berat seperti trak dan lori muatan simen dapat dikurangkan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 57(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010. – K! ONLINE.