PETALING JAYA – Keputusan untuk bercerai setelah tujuh tahun mendirikan rumah tangga bukan satu perkara yang dikesali oleh pelakon Nur Fazura.
Bagi bekas isteri kepada aktor Fattah Amin itu, Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 41, perceraian itu membuatkan dirinya terus bersemangat meneruskan kehidupan.
Malah ibu kepada Nur Fatima Aisya itu turut mengakui sudah memberikan yang terbaik selepas mendirikan rumah tangga dengan Fattah pada 27 November 2017.
“Tentulah saya pernah memperjuangkan cinta. Saya sudah berkahwin selama tujuh tahun. Tetapi saya sudah berpisah pada bulan lalu.
“Saya tidak menyesal dengan apa yang berlaku. Saya bersyukur dan berbangga kerana dapat bangkit dan saya sudah memberikan yang terbaik kepada perkahwinan itu,” katanya.
Fazura memberi reaksi itu ketika hadir sebagai bintang undangan dalam sebuah rancangan di Indonesia, Sea Today baru-baru ini bagi mempromosikan lagu baharunya bertajuk Bertahan Demi Cinta.
Jelas Fazura, lagu tersebut menceritakan tentang perjuangan pasangan suami isteri yang berusaha mempertahankan perkahwinan mereka.
Fazura turut berterima kasih kepada peminat yang telah memberikan sokongan positif kepada lagu tersebut.
“Lagu ini tentang lelaki dan wanita yang saling mencintai. Tentu saja dalam perkahwinan ada banyak dugaan.
“Jadi lagu ini tentang bagaimana mereka memperjuangan dan bertahan dalam setiap rintangan itu. Disebabkan itu tajuk lagi ini dinamakan Bertahan Demi Cinta
“Terima kasih kepada peminat yang memberi sokongan. Ramai yang menyukai dengan lagu itu. Disebabkan perceraian saya, mereka masih mengharapkan agar kami (dengan Fattah) akan berbaik semula,” ujarnya.
Difahamkan kemunculan Fazura dalam program itu menjadi penampilan pertamanya selepas sah bercerai talak satu pada 7 Oktober lalu.
Untuk info lagu tersebut merupakan ciptaan sepenuhnya oleh penyanyi dan komposer Ippo Hafiz dan diterbitkan oleh syarikat rakaman Indonesia, Hits Records pada 10 Oktober lalu.
Lagu tersebut menjalani proses rakaman sekitar Februari lalu ketika pasangan itu masih bergelar suami isteri. – KOSMO! ONLINE