PETALING JAYA – Seorang bapa yang juga ‘tahi dadah’ tergamak menggunakan sumbangan dan bantuan untuk keluarganya dengan membeli bekalan barang terlarang itu, sekali gus menyebabkan kebajikan isteri dan anak-anak terabai.
Ekoran itu, isteri dan anaknya terpaksa meminjam daripada orang sekeliling untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Kisah itu dikongsikan seorang kakitangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi hantaran Facebook Qalam Qaha Hayat dan keluarga tersebut kemudiannya dibantu oleh agensi berkenaan.
“Bagaimana nasib anak-anak yang masih kecil ditinggalkan dek kerana mengikut hawa nafsu? Ketua keluarga yang dijadikan tempat untuk bergantung harap terlibat dengan ketagihan dadah, sehingga memberikan kesan negatif kepada isteri dan anak-anak.
“Zakat Selangor membantu keluarga yang dihimpit dengan masalah ekonomi, sekadar membantu meringankan dan bukan membantu individu ketua keluarga yang menyalahgunakan wang amanah pengeluar zakat.
“Bila mana sumbangan atau bantuan itu tidak dimanfaat sepenuhnya untuk keluarga, tapi hanya digunakan untuk keperluan dirinya sendiri bagi membeli bekalan dadah. Anak isteri terabai. Terpaksa meminjam ke jiran tetangga dan rakan taulan,” katanya.
Dalam pada itu, masyarakat juga diseru untuk menyalurkan maklumat jika terdapat keluarga yang terabai atau memerlukan bantuan dengan menghubungi pihak LZS.
“Kami menjalankan amanah pengeluar zakat untuk bantu kelangsungan hidup mustahiq,” katanya. – KOSMO! ONLINE