IPOH – Seramai 10 orang Pegawai Penguat Kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima pentauliahan sebagai juruterbang dan pegawai sistem udara di sini semalam.
Kesemua mereka menerima pentauliahan tersebut pada Majlis Pemakaian Sayap Penerbangan dan Tamat Latihan Juruterbang Helikopter Siri 1/2023 dan Pegawai Sistem Udara Siri 1/2024 serta Majlis Pemakaian Pangkat Pemangkuan Leftenan Maritim Gred T16 (Penerbang) di sini.
Timbalan Ketua Pengarah Logistik APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, pemakaian pangkat itu telah diberikan khusus kepada pegawai-pegawai yang telah menjalani latihan selama 12 hingga 18 bulan bagi melayakkan mereka melaksanakan tugas-tugas penerbangan dalam agensi.
“Kemahiran yang dimiliki oleh juruterbang dan pegawai sistem udara menerusi latihan yang telah diberikan bukan sahaja menyumbang kepada ketangkasan APMM dalam melaksanakan tugas-tugas operasi serta mencari dan menyelamat (Carilamat), malah ia mampu memberi jaminan terhadap keupayaan aset udara APMM menerusi sektor logistik maritim.
“Pegawai yang menerima pemangkuan pangkat pada hari ini (semalam) iaitu lapan juruterbang serta dua pegawai sistem udara akan menjadi sebahagian daripada skuadron udara APMM yang bertanggungjawab memastikan kedaulatan dan keselamatan perairan negara berada pada tahap optimum,” katanya.
Tambah Saiful Lizan, aset udara yang digunakan oleh APMM memerlukan kepakaran tinggi dalam pengendalian serta penyelenggaraan dan kumpulan pegawai itu dilatih secara khusus untuk tujuan tersebut.
Beliau turut menegaskan dengan penambahan juruterbang dan Pegawai Sistem Udara yang bertauliah, APMM kini berada pada kedudukan yang lebih baik bagi memperhebatkan rondaan udara di kawasan perairan negara.
“Hal ini secara langsung akan menyumbang kepada keberkesanan dalam pengawalan dan pencegahan aktiviti-aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan, pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kegiatan penangkapan hasil laut secara haram di Zon Maritim Malaysia,” katanya
Pada masa sama, Saiful Lizan turut menekankan keperluan latihan berterusan dan pembaharuan kemahiran pegawai APMM bagi menghadapi cabaran-cabaran semasa dalam bidang penguatkuasaan maritim. – KOSMO! ONLINE