PETALING JAYA – Berdosa bagi mana-mana lelaki yang berjanji hendak mengahwini seseorang wanita tetapi tidak menunaikannya.
Menurut Ustaz Raja Muhammad Al-mahi Raja Badrol Hisham atau lebih dikenali sebagai Almahiraja, para wanita boleh menuntut perkara tersebut di akhirat nanti jika ada lelaki yang tidak menunaikan janji mereka.
“Mana-mana lelaki yang penah berjanji nak kahwin dengan hangpa (kamu) lalu dia tidak tunaikan, dekat akhirat nanti hangpa boleh tuntut depan Allah.
“Ya, Allah lelaki ini pernah berjanji nak kahwin dengan saya, nak jaga saya, nak didik saya lalu dia tidak tunaikan, aku nak tuntut hari ni aku nak pahala darinya. Ya boleh benda tu.
“Sebab itu lelaki jangan pernah sesekali berjanji dengan mana-mana wanita untuk mengahwini mereka sebab kalau tidak tunaikan akan berdosa,” kongsinya di TikTok.
Sementara itu, Almahiraja turut menitipkan pesanan kepada golongan lelaki agar tidak sewenang-wenangnya menabur janji manis kepada wanita terutama berkaitan perkahwinan kerana setiap jodoh adalah milik Allah.
“Kalau betul suka pada seseorang wanita, betul nak halalkan dia, cakap saya sedang usaha untuk menghalalkan awak. Semoga kita berjodoh. Cukup. Jangan janji aku akan kahwin dengan awak, aku akan jaga awak, aku akan didik awak, aku akan bagi kemewahan kepada awak.
“Tidak boleh, ini berdosa. Jangan buat main dengan janji,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@almahiraja#dakwahbiarsampai #almahiraja #usrahdbs♬ Butterfly – AmirullahMZ