KOTA BHARU – Ujian air kencing di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di negeri akan terus dijalankan dalam usaha untuk mengesan rakyat Malaysia yang terlibat penyalahgunaan dadah semasa berhibur di Thailand.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, buat masa ini, pemeriksaan itu sudah dijalankan dari masa ke semasa di pintu masuk ke negara ini.
Menurutnya, ujian air kencing itu juga dilakukan secara mengejut tanpa diketahui oleh mana-mana pihak.
“Ujian air kencing kebiasaannya dilakukan semasa mereka (rakyat Malaysia) pulang dari Thailand. Setakat ini, ujian tersebut tidak dibuat semasa mereka keluar ke sana (Thailand).
“Masalahnya adalah majoriti daripada mereka (rakyat Malaysia yang berhibur di Sungai Golok) melalui jalan yang tidak sah untuk ke sana,”katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Perjumpaan dan Suai Kenal Ketua Polis Kelantan Bersama Rakan Media di IPK Kelantan, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta untuk mengulas mengenai isu anak muda Kelantan yang terlalu ramai berkunjung ke Golok, Thailand untuk berhibur pada malam Jumaat dan Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, sukar untuk menghalang perbuatan rakyat Malaysia khususnya Kelantan untuk berhibur di Golok.
Menurutnya, golongan yang gemar berhibur di kelab malam itu juga disyaki meletakkan kenderaan mereka di Rantau Panjang sebelum menyeberangi Sungai Golok untuk ke negara berkenaan.
“Tidak kira lelaki atau perempuan, ramai yang berkunjung ke sana untuk berhibur. Berdasarkan maklumat yang diperoleh, ada antara mereka yang berusia belasan tahun sudah pergi ke sana untuk berhibur.
“Justeru, saya memohon kepada semua pihak terutamanya ahli keluarga untuk memantau pergerakan anak-anak mereka terutamanya pada malam minggu,” katanya. – KOSMO! ONLINE