KUANTAN – Seorang pelanggan sedang minum di warung maut manakala seorang lagi cedera parah selepas sebuah lori merempuh kedai terbabit yang berada di tepi jalan dekat Persimpangan Perkampungan Seri Damai Jalan Kuantan-Maran di sini semalam.
Mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang itu ialah Affendi Abd Wahab,51, berasal dari Taman Guru di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, berdasarkan siasatan awal semasa kejadian lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Kampung Pandan menghala ke Gambang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, ketika sedang bergerak lurus di lorong kiri tiba-tiba lori hilang kawalan dan terbabas melanggar warung yang berada di bahu jalan serta turut melanggar dua pelanggan di warung tersebut.
“Akibat kemalangan tersebut dua pelanggan dan pemandu lori mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan ke Hospital KPJ Tanjung Lumpur di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, seorang pelanggan yang dihantar ke HTAA kemudiannya dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan 1987 dan siasatan giat dilakukan.
“Hasil siasatan awal, mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian pemandu lori yang hilang kawalan dan melanggar warung tersebut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE