KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil pemilik akaun Facebook Tan Chong Ren untuk dirakam keterangan ekoran video tularnya menghambur kata-kata negatif dan penghinaan terhadap Islam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan video tular berdurasi satu minit 4 saat itu hari ini.
Katanya, rakaman video tersebut memaparkan seorang lelaki yang berada di dalam sebuah kenderaan telah mengeluarkan kata-kata negatif dan penghinaan terhadap agama Islam.
“Pihak polis berjaya mengenal pasti suspek dan keterangan akan diambil dalam masa terdekat memandangkan suspek sedang mendapatkan rawatan kesihatan mental di sebuah hospital.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegasnya, polis memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang bertindak menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara sebagaimana yang diperuntukkan undang-undang.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak terus menularkan video berkenaan kerana bimbang akan menimbulkan kegusaran di kalangan masyarakat,” gesanya.
Terdahulu Kosmo! melaporkan Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat membuat laporan terhadap seorang pengguna media sosial yang memuat naik hantaran video menghina agama Islam menerusi akaun media sosialnya.
Ketua Biro Politik Sekretariat, Shahbudin Embun berkata, dia telah melihat sebuah video dimuat naik pengguna @TanChongRen yang berdurasi lebih satu minit di aplikasi TikTok.
Lelaki tersebut membuat rujukan di YouTube berhubung kenyataan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan begitu marah dengan mengeluarkan perkataan menghina Melayu dan Islam. -KOSMO! ONLINE.