fbpx

Anwar pengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara hari ini.- Foto Facebook Anwar Ibrahim.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara pada hari ini dan menetapkan langkah-langkah reformasi untuk pembangunan sains, teknologi dan inovasi (STI) negara.

Menurut Anwar, beliau mahu memastikan peranan badan itu kekal relevan melalui pemugaran STI termasuklah penglibatan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“Pagi ini saya telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Sains Negara Bil. 2/2024, sebuah majlis yang ditubuhkan khas bagi menetapkan hala tuju dasar serta pengukuhan ekosistem STI dalam pembangunan negara.

“Dalam memastikan peranan badan ini kekal relevan melalui pemugaran STI, saya telah menggariskan beberapa langkah reformasi keinstitusian yang wajar dilaksanakan antaranya penubuhan Panel Penasihat Pakar Majlis Sains Negara dan Jawatankuasa Koordinasi dan Pemantauan Sains Negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Jelas Anwar, dalam usaha memastikan penyelarasan penyelidikan dan pembangunan (R&D) lebih meluas, beliau turut tekankan pentingnya penyertaan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) selain universiti agar perancangan dapat diselaraskan dengan agenda negara.

“Semoga gerak kerja di bawah Majlis Sains Negara ini akan mengangkat Malaysia sebagai peneraju dalam bidang ‘foresight’ dan penggerak transformasi STI ASEAN.

“Selain itu, turut menjadi rujukan utama bagi merangka Pelan Tindakan Sains, Teknologi dan Inovasi ASEAN (APASTI) 2026-2035 menjelang Kepengerusian ASEAN 2025,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI