PETALING JAYA – Tempoh iddah selepas berlakunya perceraian bukan sahaja perlu dilalui oleh golongan isteri, malah suami juga ada proses ‘menunggu’ yang perlu dipatuhi sebelum berkahwin baharu.
Merujuk kepada perkongsian Peguam Syarie dan Konsultan Perundangan Islam, Fahmi Ramli di kumpulan Telegram, pada asasnya lelaki tidak mempunyai iddah kerana iddah ini dikhususkan kepada perempuan.
Namun begitu katanya, terdapat empat keadaan di mana lelaki terikat dengan iddah bekas isterinya dan tidak boleh berkahwin dalam tempoh tersebut.
“Pertama, jika seorang lelaki mempunyai empat orang isteri dan telah menceraikan salah seorang isterinya dan ingin berkahwin dengan wanita yang lain, dia hendaklah menunggu sehingga tamatnya tempoh iddah isterinya yang diceraikan tersebut.
“Kedua, seseorang lelaki yang telah menceraikan isterinya dengan talak tiga dan ingin berkahwin semula dengan bekas isterinya, maka beliau hendaklah menunggu sehingga isterinya berkahwin dengan lelaki lain, melakukan persetubuhan dengan suami baharu, bercerai dan tamat iddah, baru boleh berkahwin,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai keadaan ketiga, Fahmi berkata, seseorang lelaki itu perlu melalui tempoh menunggu sekiranya pasangan baharunya mempunyai pertalian keluarga dengan bekas isterinya.
“Lelaki yang telah pun bercerai dan ingin mengahwini perempuan yang mahram dengan bekas isterinya seperti saudara perempuan kepada wanita itu atau ibu saudara bekas isteri, anak saudara kepada bekas isteri dan lain-lain, lelaki tersebut hendaklah menunggu tempoh iddah bekas isterinya berakhir terlebih dahulu.
“Situasi terakhir apabila seorang lelaki menceraikan isterinya dengan talak rajie, dan hendak berkahwin dengan wanita lain ketika bekas isteri dalam tempoh iddah rajie, dia membuat permohonan poligami di Mahkamah Tinggi Syariah terlebih dahulu.
“Ini kerana jika lelaki itu berkahwin dan kemudian merujuk bekas isterinya, maka lelaki tersebut telah berpoligami tanpa kebenaran mahkamah,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE