fbpx

Terlalu ramai anak muda Kelantan berhibur di Golok malam Jumaat, Sabtu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sungai Golok - GAMBAR HIASAN

KOTA BHARU – Jumlah anak muda dari Kelantan yang terlalu ramai di Golok, Thailand menyebabkan mereka perlu menunggu ‘syif’ atau giliran untuk memasuki kelab malam di kawasan tersebut pada setiap kali malam minggu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, maklumat itu disampaikan sendiri oleh rakan sejawatannya yang mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini semalam.

Menurutnya, berdasarkan maklumat itu, golongan muda dari Kelantan terlalu ramai di sekitar Golok terutamanya pada malam Jumaat dan Sabtu.

“Saya dapat maklumat, orang dari Kelantan perlu tunggu ‘syif’ (giliran) untuk masuk ke kelab atau pub. Perlu tunggu orang keluar dahulu, baru boleh masuk.

“Memang penuh dan terlalu ramai. Hari biasa pun ramai apa lagi hujung minggu. Semua pihak tidak boleh buat apa kerana kerajaan Thailand tidak sekat,” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Perjumpaan dan Suai Kenal Ketua Polis Kelantan Bersama Rakan Media di IPK Kelantan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Yusoff memberitahu, sekiranya perkara itu berlaku di Malaysia (rakyat asing datang berhibur), pihak berkuasa boleh menangkap mereka mengikut Akta Imigresen.

Menurutnya, sehubungan itu, sukar untuk menghalang perbuatan rakyat Malaysia khususnya Kelantan untuk berhibur di Golok.

“Kebanyakan anak muda yang berkunjung ke negara jiran itu dipercayai menggunakan laluan haram malah ada dalam kalangan mereka baru berusia belasan tahun.

“Mereka ke Thailand pada petang Khamis sebelum pulang semula ke Kelantan pada hari Sabtu,” ujarnya.

Mohd. Yusoff berkata, golongan yang gemar berhibur di kelab malam itu juga disyaki meletakkan kenderaan mereka di Rantau Panjang sebelum menyeberangi Sungai Golok untuk ke negara berkenaan.

Tambah beliau, siasatan awal turut mendapati, tidak ramai anak muda yang pergi Golok untuk berhibur menggunakan laluan sah melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) untuk ke Thailand. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI