NARATHIWAT, THAILAND – Seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan dan lima individu yang ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Golok, Thailand pada Jumaat lalu ditahan reman selama 84 hari atau hampir tiga bulan.
Jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, tahanan reman itu dikeluarkan oleh pihak mahkamah untuk pihak polis menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.
Menurutnya, kesemua individu itu akan dihantar ke penjara Narathiwat sepanjang tempoh tersebut.
Mengikut undang-undang di Thailand, kesalahan memiliki 6,000 pil kuda boleh dikenakan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda 200,000 baht atau RM25,880.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan antara enam individu yang ditahan oleh pihak polis Thailand bersama ribuan biji pil kuda dalam serbuan di sebuah hotel di Sungai Golok, Narathiwat pada Jumaat lalu.
Tiga lelaki dan tiga wanita termasuk penyanyi terbabit ditangkap polis Thailand kira-kira pukul 5 pagi dalam satu serbuan ketika mereka berehat di sebuah bilik hotel selepas berhibur di pusat hiburan yang terletak bawah hotel tersebut.
Mereka masuk ke negara jiran itu untuk berhibur sempena cuti perayaan Deepavali.
Menurut sumber, dua lagi suspek yang sebelum itu berada di dalam bilik itu sempat meloloskan diri.
“Pemeriksaan di dalam bilik itu kemudian menjumpai sebanyak 6,000 biji pil kuda.
“Siasatan mendapati, salah seorang suspek wanita merupakan seorang penyanyi terkenal dari Kelantan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sumber itu memberitahu, kesemua suspek yang ditahan tidak membuat sebarang pengakuan mengenai pemilikan dadah tersebut. – KOSMO! ONLINE