PENGANJURAN karnival pemeriksaan kesihatan oleh pelbagai pihak adalah cukup penting sebagai salah satu bentuk kesedaran kepada orang ramai.
Pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan secara berkala bagi memastikan kita boleh mendapatkan rawatan yang tepat sekiranya diserang penyakit.
Penganjuran karnival-karnival kesihatan yang bersifat setempat menjadi lambang keprihatinan pihak tertentu terhadap komuniti terbabit.
Baru-baru ini, satu karnival kesihatan telah berlangsung di sebuah daerah di Selangor iaitu Kuala Selangor. Karnival Kesihatan Kuala Selangor itu dianjurkan oleh Pusat Pakar Perubatan Sri Kota (SKSMC) yang bekerjasama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan sebuah agensi insurans di bawah Great Eastern Life Assurance (M) Berhad, Golden Win Empire.
Program berlangsung sehari dari pagi hingga ke petang itu bertempat di Dewan Orang Ramai Assam Jawa, Bukit Rotan, Kuala Selangor.
Karnival tersebut dihadiri kira-kira 200 pengunjung sekitar Kuala Selangor yang mengambil peluang itu untuk mendapatkan pelbagai pemeriksaan kesihatan secara percuma.
Karnival tersebut menawarkan pemeriksaan kesihatan membabitkan pemeriksaan tekanan darah, kencing manis, pemeriksaan kolesterol, pemeriksaan komposisi tubuh dan juga meningkatkan kesedaran komuniti tentang derma organ.
Tambah menarik, dengan kerjasama NCSM, karnival itu juga menyediakan pemeriksaan kanser percuma serta memberikan Vaksinasi Human Papilloma Virus (HPV) kepada individu berumur 13 hingga 45 tahun yang layak.
Pengarah Hospital SKSMC, Tan Suet Guan berkata, karnival tersebut membuktikan dedikasi pihak hospital dalam memupuk masyarakat lebih sihat.
“Penjagaan kesihatan merupakan satu usaha kolektif bukan sahaja dalam kalangan mereka yang bertugas dalam bidang kesihatan, tetapi juga dalam kalangan komuniti.
“Acara ini membuktikan bahawa usaha sama begini boleh memberikan manfaat dalam menambah baik kesihatan dan kesejahteraan semua.
“Kami juga mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pengunjung, rakan kongsi dan sukarelawan atas sumbangan mereka dalam menjayakan karnival ini,” katanya.
Dalam karnival itu juga, pengunjung berpeluang mendapatkan maklumat penting berkenaan kepentingan mendapatkan insurans kesihatan.
Tambah Suet Guan, Karnival Kesihatan Kuala Selangor itu telah berjaya menyatukan golongan pakar dalam bidang perubatan dan pelbagai organisasi lain dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Sementara itu, Eksekutif Kesihatan Komuniti NCSM, Mohd. Aizat Afiq Azmie berkata, misi organisasi itu adalah untuk memberikan kesedaran dan pencegahan awal berkenaan kanser kepada orang ramai.
“Menerusi pemeriksaan kanser dan suntikan vaksin HPV yang ditawarkan kepada komuniti, kami berharap agar orang ramai boleh bertanggungjawab terhadap tubuh badan mereka dan membuat keputusan yang betul membabitkan kesihatan diri.
“Kami juga berbangga apabila dapat bekerjasama bersama SKSMC dalam memberikan perkhidmatan menyelamatkan nyawa sebegini kepada penduduk sekitar Kuala Selangor,” katanya.