fbpx

Malaysian Tigress siap tempur ACT 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain skuad hoki wanita dan dalam dewan lelaki memperaga tajaan jersi baharu yang akan digunakan selepas ini. - M.FIRDAUS M.JOHARI

KETUA jurulatih skuad hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim bertekad memastikan anak-anak buahnya bersedia menghadapi cabaran sengit pada Trofi Juara-Juara Asia (ACT) dari 11 hingga 20 November ini di Stadium Hoki Rajgir, India.

Menurut Nasihin, Malaysian Tigress dalam fasa persediaan intensif dengan harapan untuk memperbaiki pencapaian selepas perlawanan pertama dijadualkan bertemu India, di mana mereka tewas 0-5 pada edisi lalu.

“Kita cuba bina pasukan ini satu demi satu perlawanan. Kita tahu kita bukan pasukan teratas, jadi sasaran adalah beraksi sebaik mungkin dan kalau ada rezeki, mungkin dapat mencipta kejutan,” katanya.

Berhadapan dengan pasukan bertaraf dunia yang lebih pantas dan kuat secara fizikal, Nasihin turut menyatakan skuad wanita negara perlu mengubah strategi permainan bagi menjamin mata berharga.

“Kita tidak boleh hanya bergantung pada tempo yang tinggi. Kita kena cuba kawal permainan dan memanfaatkan kekuatan pemain yang boleh mengawal bola dan memukul jauh ke depan.

“Ada pemain-pemain muda yang laju, jadi kita cuba gandingkan mereka dengan pemain senior untuk membawa pasukan ke tahap yang lebih baik,” jelasnya.

Nasihin yang ditemui media selepas majlis pelancaran jersi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini turut menekankan kehadiran beberapa pemain senior mampu memberikan saingan sengit.

“Kita cuba bentuk mental warrior dalam pasukan, latih mereka dalam tekanan tinggi supaya mereka tidak mudah crack di bawah tekanan. Harapnya ini boleh membantu mereka bertahan sampai akhir permainan,” tambahnya lagi.

Malaysian Tigress mengakhiri kempen ACT 2023 pada kedudukan kelima selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Thailand dalam perlawanan klasifikasi tempat kelima dan keenam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI