SEPANG – Pertarungan antara pendahulu, Jorge Martin dan Fransesco Bagnaia untuk merebut gelaran dunia Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada Grand Prix (GP) Malaysia kelmarin dianggap aksi paling mendebarkan musim ini.
Aksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu menyaksikan 11 kali aksi pintas memintas antara mereka dengan Martin sudah sebelah kaki untuk muncul juara keseluruhan apabila menjuarai sprint dan Bagnaia menjuarai perlumbaan sebenar GP Malaysia.
Martin terpaksa berpuas hati di tempat kedua sekali gus menyaksikan peluang kembali terbuka antara mereka untuk merebut gelaran juara dunia menjelang perlumbaan pusingan terakhir.
“Saya sangat menikmati pertarungan ini. Terima kasih kepada Pecco (Bagnaia) dengan tahap kehebatannya, saya turut dapat memperbaiki tahap perlumbaan saya setiap hari.
“Kami sering berlumba berdekatan tetapi belum pernah ada perlawanan sebegini dengan 11 kali memotong dalam hanya tiga pusingan,” kata Martin.
Tambah Martin, keputusan memilih tayar depan jenis medium menjadi salah satu faktor utama dalam strategi perlumbaannya.
Walaupun sedikit berisiko pada tiga pusingan pertama, namun Martin yakin itu adalah pilihan terbaik untuk memberikan cabaran maksimum di Sepang.
“Mungkin agak mencabar untuk melakukan brek pada awalnya, namun saya gembira dapat memberi tekanan kepada Pecco. Tidak mudah untuk menewaskan pelumba sepertinya yang mempunyai kemahiran brek dan kawalan motosikal yang luar biasa,” jelas Martin.
Perlumbaan terakhir dijangka berlangsung di Barcelona, namun pemegang hak penganjuran, Dorna masih belum membuat keputusan selepas membatalkan GP Valencia dari 15 hingga 17 November akibat tragedi banjir buruk. – AGENSI