RATU terjun negara, Nur Dhabitah Sabri tampil bersemangat selepas rehat pasca Sukan Olimpik selain mengakui gembira dapat kembali ke kolam terjun dalam keadaan yang lebih baik dari segi mental dan fizikal.
Dhabitah dan pasangannya, Ong Ker Ying berjaya mengharumkan nama Malaysia selepas meraih pingat emas acara 3 meter (m) papan anjal seirama di Terbuka Malaysia 2024 di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil semalam.
Gandingan itu berjaya mengumpul 218.82 mata, menewaskan wakil Hong Kong, Ka Sin Leung-Ziyi Wang yang berada di tempat kedua (206.40 mata), manakala Ariana Hannah Drake-Rose Ann Ocmer dari Filipina di tempat ketiga (153.39 mata).
“Saya dah berehat, tapi sebenarnya saya masih berada di kolam sepanjang masa. Sekarang, mental, kesihatan dan fizikal semuanya dalam keadaan baik. Saya sangat gembira dapat kembali,” kata Dhabitah yang ditemui selepas sesi penyampaian hadiah kemenangan semalam.
Sementara itu, Dhabitah turut menyatakan komitmennya untuk meneruskan fokus acara 3m, selain membincangkan pelan latihan bersama jurulatihnya bagi menentukan sama ada kekal atau mencuba cabaran dalam 10m platform.
“Jurulatih tahu betapa mencabarnya untuk mengimbangi dua acara berbeza, jadi semuanya bergantung kepada perancangan kami selepas ini,” ujarnya.
Dalam kejohanan tersebut, Dhabitah bukan sahaja beraksi untuk acara 3m papan anjal seirama tetapi turut bersaing dalam acara 10m platform seirama campuran bersama Gabriel Gilbert Daim.