GUA MUSANG – Seekor harimau kumbang dan seekor beruang matahari masuk perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan di daerah ini dan Kuala Krai dekat sini semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, tangkapan hidupan liar itu melegakan penduduk di kawasan tersebut kerana dapat mengelakkan kerugian berterusan akibat kemusnahan tanaman dan ternakan.
Katanya, bertindak atas aduan tersebut, anggota Jabatan Perhilitan daerah telah menjalankan siasatan di lokasi aduan dan telah memasang satu unit perangkap beruang serta satu unit perangkap harimau kumbang di lokasi aduan berkenaan.
“Pada 31 Oktober lalu, Jabatan Perhilitan Daerah Kuala Krai telah menerima aduan berkenaan seekor beruang matahari berkeliaran di sekitar kebun di Kampung Sungai Pas, Kuala Krai. Pada 2 November lalu pula, Jabatan Perhilitan Daerah Gua Musang telah menerima aduan berkenaan harimau kumbang yang mencederakan lembu ternakan di ladang HR Plantation Kuala Koh.
“Seekor beruang matahari jantan dan seekor harimau kumbang telah berjaya memasuki perangkap yang dipasang di kedua-dua lokasi tersebut,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Mohamad Hafid memberitahu, operasi pemindahan dan pelepasan semula beruang matahari serta harimau kumbang ke habitat yang lebih sesuai serta selamat akan dijalankan dalam masa terdekat.
Katanya, operasi pemindahan ini akan melibatkan kakitangan Jabatan Perhilitan daerah Kuala Krai dan Gua Musang.
“Bagi mengurangkan kes konflik melibatkan beruang matahari dan harimau kumbang, penduduk khususnya pekebun dan peladang dinasihatkan agar mengambil langkah-langkah seperti sentiasa berteman, tidak memasuki kawasan kebun pada waktu malam serta sentiasa membersihkan kebun.
“Penduduk juga perlu memasang lampu di sekeliling rumah atau kandang dan kawasan ternakan hendaklah berpagar serta ternakan dikurung pada waktu malam,” katanya.- KOSMO! ONLINE