GUA MUSANG – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) telah mengagihkan sebanyak 500 bakul makanan kepada penduduk Orang Asli yang terlibat dengan bencana banjir di daerah ini.
Pegawai Jakoa Daerah Gua Musang, Muhamad Yusrizal Ghani berkata, bantuan itu telah disalurkan kepada 237 ketua isi rumah (KIR) di lima buah kampung selepas banjir surut.
Katanya, pengagihan bakul makanan itu termasuk di Kampung Pasir Linggi sebanyak 92 KIR, Kuala Koh (53), Kampung Aring 5 (76), Kampung Bawek (10) dan Kampung Sungai Tako (6).
“Penduduk Orang Asli di kampung terbabit kerap terputus hubungan apabila jambatan dan jalan ditenggelami banjir.
“Selepas berlaku kejadian banjir, mereka sukar untuk keluar bagi membeli barang keperluan,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pasir Linggi di sini hari ini.
Bantuan bakul makanan kepada penduduk Orang Asli itu sebelum ini turut disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Arifin.
Menurut Muhamad Yusrizal, daripada baki itu sebanyak 263 bakul makanan lagi akan diagihkan kepada penduduk Orang Asli termasuk di Pos Gob dan Kuala Koh.
Katanya, bekalan makanan harian yang dihantar itu seperti beras, gula, tepung gandum, telur, gula, serbuk teh dan beras.
“Kita juga akan memantau keseluruhan kampung Orang Asli yang terjejas banjir untuk dihantar bantuan makanan dengan segera.
“Penduduk Orang Asli tidak perlu bimbang kerana kita sudah mengatur program penyampaian bantuan makanan itu setiap kali selepas banjir surut,” katanya. -K! ONLINE