KUALA NERANG – Seorang warga emas terpaksa melalui penderitaan di hujung usia apabila dia diuji dengan penyakit kanser yang bermula dari mata sebelum merebak ke hidung dan mulut.
Bariah Awang Kechik, 79, bukan saja tidak berdaya untuk bangun, malah wanita itu juga tidak mampu untuk melihat selain pipi membengkak dan luka pada bahagian dalam mulut.
Menurut menantunya, Siti Rogayah Khamis, 59, keadaan itu menyebabkan Bariah tidak berselera untuk makan sehingga menjejaskan kesihatannya.
“Penyakit ini mula dikesan selepas ibu merasa sakit di hidung dan mulut pada 2016. Setelah sampel di gusi diambil dan diuji, doktor mengesahkan yang ibu menghidap kanser mata.
“Selepas itu, kami membawanya bertemu pakar sebanyak empat kali di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). Bagaimanapun, disebabkan ibu bimbang akan ditidurkan, dia tak mahu lagi ke hospital bagi menjalani rawatan susulan hinggalah bahagian dalam mulut berlubang.
“Sejak dua tahun lalu, bahagian mulut ibu mula membengkak bersama pipi kiri, mengakibatkan mata ibu tertutup rapat. Kesihatannya juga merosot menyebabkan dia hanya terlantar di katil,” katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Pengerusi Cancer Survivors Malaysia, Zuraini Kamal di rumahnya di Kampung Keda Bukit Ular baru-baru ini.
Siti Rogayah menambah, ketika ini berat badan mentuanya itu hanya kira-kira 40 kilogram.
“Pernah suatu ketika darah keluar hampir setengah cawan dari bahagian dalam mulut yang berlubang menyebabkan kami panik.
“Sebelum ini doktor ada menyarankan supaya ibu diberi minum susu formula khas, namun disebabkan harganya mahal, kami tidak mampu untuk membelinya,” katanya.
Dalam pada itu, suami Siti Rogayah, Abdul Razak Yusof, 58, mengakui hatinya sangat hiba melihat keadaan ibunya yang menanggung kesakitan setiap hari.
“Doktor pernah memaklumkan yang ibu boleh menjalani pembedahan tetapi disebabkan faktor usia, langkah itu mungkin berisiko kepadanya. Dalam keadaan sekarang, sukar untuk kami melihat penderitaannya kerana apa saja yang dijamah, akan termasuk ke dalam gusi serta lelangit mulut yang berlubang.
“Mungkin sukar untuk mencari rawatan sesuai buat ibu tetapi kami masih menaruh harapan tinggi agar ibu kembali sihat,” katanya yang hanya menyara hidup dengan melakukan kerja-kerja kampung,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan kepada keluarga ini boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Rakyat Abdul Razak bernombor 22-4090021-3.