TIDAK berahsia, bekas isteri Aamir Khan, Kiran Rao mendedahkan sepanjang hidup bersama, aktor itu tidak mengambil tahu hal persekolahan anak tunggal mereka, Azad yang kini berusia 13 tahun.
Begitupun, penerbit juga pengarah filem terbabit mengakui, sejak bercerai tiga tahun lalu, Aamir kini semakin bertanggungjawab dan sama-sama menjaga anak lelaki mereka.
Pendedahan tersebut diluahkan dalam sebuah wawancara program bual bicara kekeluargaan dalam sebuah stesen televisyen membicarakan isu penjagaan anak selepas bercerai.
Kiran yang berkahwin dengan Aamir pada tahun 2005 selepas bertemu di set filem Lagaan tidak menyalahkan lelaki terbabit, sebaliknya menyatakan hampir kesemua bapa kurang ambil tahu mengenai hal sekolah.
Katanya, ini kerana urusan tersebut sudah diserahkan kepada kaum wanita yang dirasakan lebih bertanggungjawab mengendalikan perkara berkaitan itu.
Pada masa sama, Kiran juga mendedahkan lebih tenang selepas berpisah yang dirasakan sebagai keputusan tepat dilakukan berbanding terus mempertahankan ikatan mereka.