PENUH berliku, Priyanka Chopra mengakui sebelum membintangi siri Quantico dan filem Baywatch mengakui berdepan waktu sukar sewaktu memulakan langkah di Hollywood.
Tidak seindah disangkakan, populariti di Bollywood bukan jalan pintas buat Priyanka bertapak selesa di negara orang, sekali gus tempoh berkenaan dianggap sebagai transisi paling gelap dalam hidupnya.
“Ini adalah sebuah industri yang asing bagi saya, dipenuhi orang tidak dikenali. Saya juga tiada teman di sini yang boleh dihubungi pukul 2 pagi ketika saya perlukan seseorang untuk berbual.
“Saya berada di New York, kota besar yang terasa mendominasi dan menakutkan. Saya bukan siapa-siapa. Itu tempoh yang sangat gelap,” ungkapnya.
Kata ratu cantik yang terjun ke arena lakonan itu, tiada pihak sudi menemuinya dengan pelbagai alasan sehingga membuatkan dia hampir putus asa.
Bertahun-tahun merangkak di negara orang, akhirnya bakat isteri kepada Nick Jonas itu diperakui ramai penerbit Hollywood.
Kata Priyanka lagi, sesiapa yang ingin menembusi pasaran Hollywood perlu kuat semangat dan bersungguh-sungguh ‘menjual’ bakat.
Dalam perkembangan terkini, Priyanka sedang menjalani penggambaran musim kedua siri ejen penyiasatan Citadel bersama aktor Richard Madden.