KUALA TERENGGANU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu mengesahkan menerima laporan seekor beruang matahari dilanggar di Kilometer 422, Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) di sini semalam.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, aduan tersebut diterima pihaknya pada pukul 1.30 tengah hari.
“Begitupun, seramai enam kakitangan Perhilitan negeri yang bergegas di lokasi dimaksudkan gagal menemui beruang matahari terbabit.
“Usaha mencari haiwan liar itu sedang dilakukan. Saya juga berharap orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan haiwan itu segera lapor kepada pihak Perhilitan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu tular video di media sosial yang memaparkan seekor beruang matahari sedang menahan kesakitan sambil berguling di atas jalan di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Kuantan.
Menerusi rakaman yang dikongsikan pengguna TikTok @wnurulhusna semalam, terdapat luka dan darah pada badan serta muka beruang terbabit seolah-olah baru terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Kelihatan juga beberapa serpihan kaca dan badan kenderaan bertaburan di atas laluan lebuh raya tersebut. – KOSMO! ONLINE