fbpx

‘Jangan risau, 6 kereta pun boleh letak atas bumbung ini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Awang Ali menunjukkan dua kereta yang diletakkan di atas bumbung rumahnya di Kampung Matang Paku Ayer Hitam, Jerlun hari ini.

JERLUN – ‘Insya-Allah, empat kereta lagi boleh ‘parkir’ atas bumbung ini’

Demikian kata Awang Ali Abdullah, 64, yang tular di media sosial sejak Jumaat lepas setelah meletakkan dua kereta di atas bumbung rumahnya di Kampung Matang Paku, Ayer Hitam, di sini.

Awang Ali memberitahu, dia yang mempunyai kepakaran membuat rumah membina bumbung tersebut menggunakan bahan konkrit untuk bangunan yang kukuh strukturnya.

“Janganlah risau, insya-Allah selamat lagi kerana bumbung ini sangat kukuh. Saya guna bancuhan spesifikasi Jabatan Kerja Raya (JKR), berpuluh tahun saya kerja buat rumah dan bangunan.

“Saya guna konkrit standard 1:2:4 yang ada cerucuk kukuh kerana waktu saya bina rumah pada 2008, besi masih murah. Kalau nak ikut keluasan bumbung 40×25 kaki ini, jangan kata dua, enam kereta muat atas bumbung ini,” kata pesawah dan tukang rumah itu ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Dia berkata demikian sebagai menjawab kecaman orang ramai terutama netizen yang mempertikaikan tindakan meletakkan kereta di atas bumbung rumah yang dianggap membahayakan keluarganya, selain tidak rasional.

“Banyak yang kecam kata kenapa tidak simpan kereta rumah jiran sahaja atau bawa ke tempat lain tetapi saya rasa mengangkat kereta ini ke atas bumbung lebih senang. Guna kren sahaja kerana anak saya, Mohd. Fazli, 39, kerja kendalikan jentera berat itu.

“Nak bawa tempat lain kena ‘towing’ juga sebab dua kereta ini tidak boleh jalan. Kena baiki dulu, itulah ceritanya. Orang tak tahu, tak tahulah ceritanya. Saya tidak kisah pun orang atau netizen yang cakap apa pun,” katanya.

Menurutnya, dia menaikkan dua kereta jenama Proton Saga dan Perodua Kancil itu pada Khamis lepas dengan kren yang dikendalikan oleh anak lelaki itu selama setengah jam sahaja.

Bercerita tentang alasannya berbuat demikian, kata Awang Ali, dia mahu mengosongkan halaman rumah untuk majlis kenduri cucu saudara, Shahira Zamzuri, 27, pada Sabtu lepas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI