SAO PAULO – Pelumba Red Bull, Max Verstappen mempamerkan kepakarannya bersaing di litar basah apabila bangkit mencipta kejutan menjuarai Grand Prix (GP) Brazil biarpun bermula di petak ke-17.
Perlumbaan di Litar Interlagos awal pagi semalam penuh dengan drama apabila hujan lebat berpanjangan di Sao Paulo menyebabkan sesi kelayakan ditangguhkan susulan keadaan semakin buruk dan pencahayaan yang tidak baik awal pagi tadi.
Bagaimanapun, Verstappen yang bermula di petak ke-17 akibat penalti selepas memilih untuk menukar enjin jentera, tetap tampil dengan pemanduan terbaik di Brazil biarpun ramai berdepan kesukaran memandu dalam keadaan litar licin.
Kemenangan tersebut meletakkan Verstappen dengan kelebihan 62 mata di hadapan pencabar terdekatnya, Lando Norris selepas pelumba pasukan McLaren itu hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat keenam meskipun bermula dari petak pertama.
Berbaki tiga perlumbaan, Verstappen kini dilihat berada di ambang kemenangan dan boleh memastikan gelaran juara dunia di Grand Prix (GP) Las Vegas pada 23 November ini.
Sebagai rekod, Verstappen tidak memenangi sebarang perlumbaan dalam 10 pusingan terakhir sejak GP Sepanyol pada Mei lalu. – AGENSI