JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan bersama dua lelaki warganegara Vietnam didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dakwaan menculik dan menuntut wang tebusan sebanyak RM20 juta, bulan lalu.
Tertuduh, Chong Shih Ming, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Manakala dua lelaki Vietnam, Luong Van Tung, 39, dan Tran Van Chung, 29, tidak membuat sebarang pengakuan kerana tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga mereka bersama seorang lagi yang masih bebas telah menculik seorang pemaju hartanah berusia 59 tahun dan menuntut wang tebusan sebanyak RM20 juta di Jalan Straits View di sini, kira-kira pukul 5 pagi, 13 Oktober lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, S. Thiviya mencadangkan Shih Ming dijamin sebanyak RM30,000 sebelum mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali, pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi dan mangsa.
Manakala bagi Van Tung dan Van Chung, mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan sehingga tarikh sebutan semula sebelum pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa Vietnam.
Shih Ming diwakili peguam K. Veeranesh, manakala Van Tung dan Van Chung tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini pula, seorang wanita Vietnam didakwa kerana melupuskan kenderaan jenis Honda Accord dengan niat hendak mengelakkan Shih Ming daripada dikenakan tindakan undang-undang.
Nguyen Ngoc Ngan, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan tersebut dibacakan dalam bahasa Mandarin dihadapan Majistret, A. Sharmini.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Musa manakala tertuduh diwakili peguam, Goh Sze Han. – KOSMO! ONLINE