PETALING JAYA – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengkritik usahawan terkemuka yang menayangkan beg tangan berharga RM30,000 miliknya sedangkan masih terdapat golongan miskin dan daif memerlukan bantuan.
Beliau dalam satu hantaran di Facebook mempersoalkan apakah tiada perasaan bersalah pada usahawan itu memakai beg berjenama yang harganya menyamai sebuah rumah untuk golongan miskin dan daif.
“Tidakkah ada sekelumit perasaan rasa bersalah memakai beg berjenama dengan harga yang menyamai sebuah rumah untuk bantu bina atau baiki rumah orang miskin dan daif, yang masih banyak di kampung-kampung pedalaman?,” katanya hari ini.
Beliau namun tidak menyatakan usahawan terkemuka yang dimaksudkan.
Terdahulu, Asyraf Wajdi memaklumkan, kelmarin beliau dibawa melawat sebuah rumah tinggalan pusaka keluarga yang didiami dua beradik yang sudah berkeluarga di Kampung Gerik.
Menurutnya, beliau berasa amat tersentuh melihat kedaifan rumah tersebut bagaikan rumah dulu-dulu dalam filem seniman agung, Allahyarhan Tan Sri P. Ramlee.
“Kebetulan pula baru tengok dalam TikTok (fyp) koleksi beg-beg berjenama seorang usahawan terkemuka yang ditayangkan sehingga ada jenama Hermes yang bernilai RM30,000 satu beg,” katanya.
Katanya, beliau kemudian menghantar mesej kepada Timbalan KSU Pembangunan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sekiranya masih ada baki peruntukan untuk nembantu membaiki rumah warga miskin di Kampung Gerik itu.
“Alhamdulillah, beliau terus jawab untuk saya beri maklumat penuh untuk dibantu segera. Insya-Allah akan cuba dibantu dalam masa terdekat.
“Moga Allah permudahkan urusan kita semua untuk sentiasa membantu yang memerlukan. Sesungguhnya pada harta kita ada hak yang perlu diberikan pada yang memerlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE