KUALA LUMPUR – Seorang pengawal pengiring kenamaan yang tular menumbuk seorang pemandu e-hailing orang kurang upaya (OKU), di sebuah hotel mewah didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari.
Majistret Farah Nabihah Muhammad menjatuhkan hukuman denda itu selepas tertuduh Muhammad Taufik Ismail, 32, mengaku bersalah yang didakwa ke atasnya.
“Saya mengaku,” kata tertuduh.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama 20 hari dan tertuduh menbayar jumlah denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Taufik didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Ong Ing Keong, 47, di hadapan sebuah hotel di sini pukul 11.40 pagi pada 28 Mei lalu.
Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun, atau denda sehingga RM2,000 atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil pegawai-pegawai terlibat berhubung anggota pengiring yang memukul seorang pemandu e-hailing di lobi sebuah hotel di ibu negara pada 28 Mei lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh berdasarkan perkembangan terkini yang diperolehi.
Tambah Razarudin, keutamaan dalam setiap siasatan adalah untuk memastikan bahawa tiada pelaku terlepas daripada tanggungjawab atas perbuatan yang dilakukan.
Terdahulu, pemandu e-hailing yang juga seorang lelaki OKU, telah membuat laporan polis kedua menyatakan perkara tersebut sudah diselesaikan secara baik serta tidak mahu memanjangkan kes.
Sebelum ini, mengikut laporan yang dibuat mangsa yang berusia 46 tahun bekerja sebagai pemandu e-hailing Grab mengambil empat penumpang di hotel berkenaan pada pukul 11.40 pagi, 28 Mei lalu.
Semasa pengadu sampai dan menunggu penumpang, rombongan VIP tersebut bergerak keluar dari lobi hotel.
Salah seorang pegawai VIP itu telah mengetuk cermin kereta hadapan untuk meminta pengadu bergerak sebelum menumbuk kepala mangsa supaya mengalihkan kereta.
Difahamkan, pengadu mendapatkan rawatan awal di Hospital Kuala Lumpur dan disahkan mengalami ‘soft tissue injury’.
Pegawai penyiasat ke tempat kejadian untuk melihat rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) hotel dan merampas telefon bimbit dan kamera papan pemuka (dashcam) kereta pengadu bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE