fbpx

Mengaku sepupu TMJ terlibat aktiviti pengubahan wang haram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. Yazzid dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2.45 juta, April 2019. Foto SHARKAWI LONDING

JOHOR BAHRU – Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan RM2.45 juta dengan mengaku kononnya sebagai kerabat Diraja Johor pada April dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Yazzid Ahmad, 40, menggunakan nama ‘Tunku Yazzid’ yang kononnya sepupu kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menyakinkan sebuah syarikat bagi mendapatkan projek membersih hutan di sebuah daerah di negeri ini.

Mohd. Yazzid bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh itu didakwa memperoleh wang tunai berjumlah RM2.45 juta daripada seorang lelaki yang merupakan hasil aktiviti haram.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di luar sebuah bank di Jalan Permas Jaya 10/2, Bandar Baru Permas Jaya di sini pada 16 April 2019.

Kesalahan itu dituduh mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Farid Ahmad Kamal menawarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin.

Peguam bela, Shaikh Saleem SM Daud yang mewakili Mohd. Yazzid bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan minimum dengan alasan tertuduh hilang punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan susulan pandemik Covid-19.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan 1 Februari depan tarikh sebutan semula kes.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI