PETALING JAYA – Masa kini, golongan wanita dilihat semakin kuat, berpengaruh malah sudah ramai yang berjaya memegang jawatan tertinggi dalam sesebuah organisasi termasuklah pentadbiran negara.
Situasi itu juga menyumbang kepada peningkatan wanita bujang di negara ini disebabkan mereka terlalu sibuk mengukuhkan kerjaya masing-masing.
Bagaimanapun, Public Health (PHM) mendedahkan ramai wanita kini lebih selesa hidup tanpa pasangan dan tahap kebahagiaan mereka jauh lebih tinggi berbanding lelaki bujang.
PHM dalam satu hantaran di Facebook berkongsi dapatan kajian dari Universiti Toronto yang melibatkan hampir 6,000 individu mendapati bahawa wanita bujang melaporkan lebih kepuasan dalam hidup mereka berbanding lelaki.
“Wanita bujang rasa lebih tenang, kurang tekanan untuk mencari pasangan, dan menikmati kebebasan hidup tanpa komitmen yang berat.
“Salah satu sebabnya, wanita sering mempunyai rangkaian sokongan sosial yang kuat daripada keluarga dan rakan-rakan. Sokongan ini memberi mereka kebahagiaan dan kesejahteraan emosi yang mencukupi, tanpa perlu bergantung kepada hubungan romantik,” katanya.
Kata PHM, kajian itu turut membuktikan apabila wanita semakin berdikari dari segi kewangan, keinginan untuk mencari pasangan hanya kerana kestabilan ekonomi semakin berkurang.
“Mereka kini mempunyai pilihan untuk hidup sendiri dan fokus pada impian mereka. Pilihan untuk hidup tanpa pasangan bukanlah tanda kekurangan, tapi satu tanda kekuatan untuk memilih kebahagiaan dengan cara mereka sendiri.
“Buat semua wanita yang memilih untuk hidup sendiri, ketahuilah bahawa ini adalah pilihan yang sah dan berharga. Hidup adalah untuk dinikmati, dan bahagia itu datang dalam pelbagai bentuk sama ada dengan atau tanpa pasangan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE