JAKARTA – Sekurang-kurangnya enam orang terkorban selepas sebuah gunung berapi di timur Indonesia meletus beberapa kali dalam tempoh semalaman, kata beberapa pegawai hari ini, manakala paras amaran dinaikkan ke tahap 4 sekali gus peringkat tertinggi.
Gunung Lewotobi Laki-Laki yang terletak di pulau pelancongan popular, Flores menghamburkan menara abu dan lahar ke kampung-kampung berdekatan, memaksa penduduk untuk berpindah.
“Berdasarkan maklumat pihak berkuasa tempatan, enam kematian telah disahkan,” kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana(BNPB), Abdul Muhari kepada Kompas TV hari ini.
Rakaman yang diterima AFP menunjukkan kampung-kampung berdekatan gunung berapi itu diliputi abu dengan sesetengah kawasan terbakar.
Agensi gunung berapi Indonesia pula meningkatkan paras amaran kepada tahap 4 dan mengarahkan penduduk tempatan serta pelancong supaya tidak melakukan sebarang aktivi dalam radius 7 kilometer dari kawah Lewotobi Laki-Laki.
“Terdapat peningkatan ketara dalam aktiviti Gunung Lewtobi Laki-Laki,” katanya dalam satu sidang akhbar hari ini.
Agensi berkenaan memberi amaran tentang risiko banjir lahar dan meminta penduduk tempatan memakai pelitup muka untuk mengelakkan kesan buruk abu gunung berapi.
Gunung berapi itu meletus beberapa kali pada Januari lalu, mendorong pihak berkuasa meningkat paras amaran kepada tahap tertinggi dan memindahkan sekurang-kurangnya 2,000 penduduk.
Negara kepulauan Indonesia kerap mengalami letusan gunung berapi kerana terletak di kawasan Lautan Pasifik yang dinamakan ‘Lingkaran Api Pasifik’. – AFP